Melipat Pakaian Boleh Buat Anda Pening Kepala. Jom Guna 7 Tips Ini

Sunday 24 January 2016


Kalau dibuat bancian apa kerja rumah paling malas dilakukan, tentu ramai yang akan menjawab melipat pakaian. Ya, melipat pakaian memang boleh menjadi satu masalah bagi kebanyakan wanita.

Lagi sakit hati, kalau sehari tidak diselesaikan tugas melipat pakaian, kain baju boleh bertimbun macam gunung. Rasanya baru semalam melipat pakaian tetapi hari ini sudah segunung balik terutama
yang berderet ada anak kecil. Maklumlah anak kecil kalau sehari tidak tukar 3-4 pasang pakaian memang tak sah dibuatnya.

Apa kata anda cuba tips berikut ini, mana tahu lepas ini tiada lagi masalah melipat pakaian. Tiada lagi masalah pakaian bertimbun tidak dilipat, hati pun senang.


1. Sangkut baju

Mungkin cara ini lebih sesuai untuk rumah yang mempunyai jumlah ahli keluarga yang kecil dan tidak mempunyai anak usia bayi. Tak perlu pening kepala dan malas hendak melipat pakaian. Sebaliknya sangkut sahaja semua pakaian menggunakan penyangkut baju. Beli penyangkut baju dalam jumlah yang banyak dan sangkut semua pakaian kecuali pakaian dalam dan yang bersaiz kecil. Anda hanya perlu sediakan ruang almari yang besar untuk memuatkan baju-baju yang sudah disangkut tersebut. Selesai masalah!

2. Lipat ikut kategori pakaian

Masa hendak melipat pakaian, apa kata anda asing-asingkan mengikut kategori seperti seluar, t-shirt, pakaian dalam, dan sebagainya. Lepas itu anda lipat mengikut kumpulan tersebut. Secara psikologinya
anda akan merasakan tugas melipat pakaian tidak membosankan dan cepat siap kerana melipat mengikut kategori.

3. Lepas angkat terus lipat. Jangan bertangguh

Selepas mengangkat pakaian di jemuran, lebih baik anda terus melipat pakaian. Jangan bertangguh sebab bila dibiarkan memang boleh menjadi malas. Lagi bagus kalau di rumah anda ada ruang khas untuk mencuci dan menyidai pakaian. Jadi lepas angkat anda boleh terus lipat di ruangan tersebut tanpa perlu membuat timbunan lain di dalam rumah.

4. Ajak suami & anak-anak bantu

Tugas melipat pakaian bukan hanya perlu terletak di bahu ibu/isteri sahaja. Sebaliknya ia boleh diagihkan apatah lagi jika sudah ada anak yang besar. Suami juga boleh membantu meringankan beban isteri
menguruskan kerja rumah. Tugas melipat pakaian antara tugas mudah yang boleh diserahkan kepada suami.

Anak-anak juga mesti diajar dari usia kecil lagi cara  melipat pakaian sendiri. Walaupun hakikatnya anda boleh 'sakit mata' melihat cara lipatan mereka tetapi sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan bebanan kerja rumah. Untuk permulaan, anda boleh minta suami dan anak-anak melipat pakaian milik masing-masing. Lama-kelamaan apabila mereka semakin mahir, mereka boleh selesaikan tugas melipat pakaian dengan mudah. Percayalah!


5. Tonton TV sambil melipat baju

Sesetengah orang tak suka melipat pakaian sebab katanya ia tugas paling membosankan. Jadi, untuk mengurangkan rasa bosan, lipatlah pakaian sambil menonton TV. Confirm, anda tak perasan pakaian yang menimbun hampir habis anda lipat apabila tamat filem yang anda tonton.

6. Upah orang lipat baju

Bagi yang ada bajet lebih, mungkin boleh upah servis melipat pakaian. Jangan terkejut, kerana kini sudah ada orang menawarkan servis melipat pakaian. Mungkin anda boleh kumpul sejumlah pakaian untuk tempoh seminggu dan upah orang
tersebut melipat pada hujung minggu. Biasanya upah yang dikenakan berdasarkan jumlah berat pakaian tersebut.

7. Basuh di dobi layan diri

Sesekali apa salahnya basuh baju di dobi layan diri. Selepas mencuci, boleh terus masuk dalam mesin pengering. Tak perlu menyidai pakaian di jemuran secara konvensional. Selesai mencuci dan mengering boleh terus melipat. Sekarang ini, kebanyakan pusat dobi layan diri turut menyediakan kemudahan kerusi mengurut, mesin vending minuman, televisyen dan kerusi meja untuk bersantai. Mungkin ini lebih sesuai untuk cucian fabrik bersaiz besar seperti selimut, cadar, comforter atau pakaian selepas pulang daripada bercuti atau balik kampung.

3 comments

  1. PC selalu amalkan yang no 3 tu..hihihi..terima kasih perkongsian tips ni...

    ReplyDelete
  2. haa memang pon.. dalam rumah nih nak elak bertimbun, husna lipat baju husna mama abah jaa.. yg lain adik2 lipat sendiri, kalau tak diorg ni melampau.. tp sebenarnya baju diorg nih xdelaa bnyak sgt pon, brapa helai je.. yg banyak tu baju mama abah.. hahaha..

    ReplyDelete
  3. sya buat no.2 dan no.5. sya suka lipa baju sebab rasa puas hati bila kemas

    ReplyDelete